Shak, dari jauh ku dengar kicauan beburung bebas berterbangan di angkasa. Seolah sedang berlagu suka tanpa mengenal erti sebuah luka. Padi yang sedang menguning seakan tidak sabar untuk dituai. Semua itu, terkadang menyiksakan hatiku kerana kebiasaannya di ketika ini kita pasti tidak melepaskan peluang untuk menikmati keindahannya. Kini, cuma aku saja setia menanti.
Aku tahu kau di sana mengejar cita. Yang kau harapkan sejak di bangku sekolah lagi. Katamu ingin bermain salji dan merasai musim bunga yang indah sedangkan aku tidak sanggup untuk meninggalkan segala yang ku miliki. Aku sentiasa berharap cita-citamu itu akan terlaksana seperti yang kau inginkan.
Di sini, aku ingin kau sedari betapa aku sentiasa mengingatimu selalu kerana waktunya telah tiba untuk aku mengundurkan diri dari hidupmu. Ini semua bukan kehendakku, Shak. Aku terpaksa kerana tiada pilihan lain. Kini kau bukan lagi kekasihku tapi tunangan orang dan gadis pilihan keluargamu adalah Emma, sahabat kita.
Kenapa kau merahsiakan semua ini dariku? Kau tahu segalanya sebelum berangkat ke sana tapi sengaja kau sembunyikan dariku. Untuk apa kau lakukan begini sedangkan ianya tetap berlangsung? Siksa hatiku menahan sebak tatkala melihat ibumu menyarungkan cincin di jari manis Emma. Betapa deritanya aku menahan airmata melihat keriangan Emma.
Harapan dan impian yang kita bina telah musnah, Shak. Demi persahabatan kita bertiga…biarlah aku saja beralah. Sehingga kini aku tidak pernah memberitahu Emma makna perhubungan kita dan akan tetap aku simpan demi kebahagiaan kalian. Aku akan pergi dari daerah ini agar kau tidak berada di persimpangan. Anggaplah perhubungan kita sebuah ilusi yang hadir sekadar menyisip suasana.
Maafkan aku..aku tahu hatimu terluka tapi hatiku telah pun berdarah.
Akma.
Aku melipat surat itu dan memasukkan ke dalam sampul berwarna biru. Sebaik saja sampai surat itu ke tangan Shak, berakhirlah sebuah ikatan cinta. Aku tahu Shak akan pulang dalam sebulan lagi. Dalam tempoh tersebut aku bimbang pendirianku berubah.
Mungkin Shak akan menuduhku dengan pelbagai tapi sebagai seorang perempuan aku tahu perasaan perempuan lain. Lagipun aku tidak mahu persahabatan aku dan Emma terputus.
Di daerah asing ini, aku dan keluarga membawa diri. Lagipun ayah telah di arahkan bertugas di sini. Aku tidak perlu mencari alasan lain jika Emma bertanya nanti. Ibu dan Ayah cukup mengerti perasaanku meskipun terasa berat untuk meninggalkan kampong halaman. Mereka juga tidak mahu aku dilempar dengan pelbagai tuduhan bila Shak pulang nanti.
"So, macam mana keje di sini? Ada apa-apa yang perlu I bantu?"
Aku tersenyum mendengar soalan dari En.Eric, bos muda aku.
"Tak ada. Semua okey buat masa sekarang."
Wajahnya ku pandang. Kacak. Patutlah ramai staff yang menaruh hati padanya.
"Okey, kalau ada yang you tak faham, you boleh cari I atau Shima."
"Baiklah. Ada apa-apa lagi?"
"You boleh keluar."
Aku mengangguk dan melangkah keluar. Dalam hati berbunga bangga kerana mendapat seorang ketua yang begitu prihatin. Benarlah apa yang ku dengar tentang dia.
"Hai, senyum nampak. Ada apa-apa ke?"
Aku termalu sendiri apabila diusik Kak Shima.
Hari ini 25hb Mei. Bermakna Shak telah pun tiba di Malaysia. Pasti dia tercari-cari aku di kampung. Dan pasti juga kehilanganku dipersoalkan. Memang aku rindu untuk menatap wajahnya setelah 5 tahun tapi biarlah setebal mana kerinduanku ini tidak mungkin aku kembali kepadanya. Aku telah membuat keputusan walapun pada hakikatnya aku masih belum bersedia untuk menghadapinya.
Hpku berbunyi sebaik saja aku masuk ke dalam bilik. Segeraku capai HP di atas katil. Tertera nama pemanggil.
Eric? Apa hal pula bos aku ni?
"Hai, Akma. Bz tak?"
Kedengaran suara sebaik saja aku menekan button accept.
"Taklah. Apa hal En.Eric?"
Bimbang aku ada masalah ofis.
"Tak adalah. I nak ajak You dinner. Boleh tak?"
Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Macam tak percaya dengan apa yang ku dengar. Seorang bos mengajak staffnya keluar.
"Tapi.."
Belum sempat aku menghabiskan kata, dia terlebih dulu menyampuk.
"Now, I ada depan rumah You. I tunggu."
Talian diputuskan. Aku menjengok keluar tingkap. Memang benar. Mahu tidak mahu aku menukar pakaian. Lagipun, dia yang ajak, apa salahnya.
Suasana di warung makan agak riuh. Malam minggu memang begini tapi aku telah biasa. Kerlipan neon penyeri malam. Begitu indah sekali pandangan mata. Agak hairan lelaki ini. Kebiasaannya anak orang kaya seperti dia akan memilih cafĂ© eksklusif ataupun hotel. Penampilannya juga berbeza dari biasa. Dia cuma mengenakan T’shirt dan jeans lusuh namun masih tampak bergaya.
Ku lihat dia relaks sekali menyuap mee goreng ke dalam mulut. Seolah tidak kisah dengan suasana begini.
"Kenapa pandang I macam tu?"
Soalannya mengejutkan lamunanku. Aku tersipu-sipu malu.
"You dah biasa ke sini?"
Dengan teragak-agak aku bertanya. Dia terhenti mengunyah dan kemudian tersenyum. Aku suka lihat dia begitu. Menyerlahkan ketampanannya.
"Lebih dari 4 kali. Kenapa?"
"Yelah.. selalunya orang seperti You ni pemilih sikit. Tak makan di warung."
"I pun manusia biasa. Apa yang I ada sekarang, bukan hak I. But father I. I cuma penyambung warisan tu. Makanan di sini sedap. Lagipun boleh save budgetlah sikit.."
Dia ketawa menampakkan barisan giginya yang putih dan tersusun.
"Takkan nak save budget kot..gaji ribu.."
Aku cuba memancing.
‘Dunia sekarang, kenalah jimat. For the future."
Kami sama-sama ketawa. Aku suka dan senang bersamanya. Banyak cerita dan pengalaman dapat ku pelajari darinya. Terutama soal kerja. Dia tidak lokek memberi ilmu. Lagipun dia memang fasih berbahasa Melayu. Kadang-kadang befalsafah lagi.
Aku tidak tahu sejak bila bermula persahabatan ini. Tapi yang pasti kekerapan menolong di pejabat sering memaksa aku bersamanya. Lagipun Kak Shima cuti bersalin kerana itu aku terpaksa uruskan kerjanya. Padaku, Eric memang bertuah. Dalam usia 30 tahun dia telah menjadi CEO. Dan tidak lama lagi seluruh empayar keluarga Wong akan menjadi miliknya apabila Tuan Wong bersara nanti.
Kini, banyak masaku habiskan bersama Eric. Ternyata dia adalah seorang lelaki yang begitu memahami. Jika ada kelapangan pasti ada saja aktiviti yang dilakukan. Kadangkala Eric membawa seorang kawannya, Sham untuk menyertai kami. Hubungan Sham dan Eric bagaikan saudara. Lagipun, Eric sekarang tinggal bersama Sham di apartment miliknya.
Pun begitu, masih banyak rahsia yang tidak ku tahu tentang Eric terutama berkaitan soal cinta. Dia tidak pernah bercerita padaku. Cuma sekali sekala dia keluar dinner dengan Cindy, anak rakan Tuan Wong. Mungkin Cindy atau mungkin juga orang lain. Siapa tahu…
Kelmarin, Shak melangsungkan perkahwinannya dengan Emma. Aku tahu aku bersalah padanya kerana terlalu terburu-buru membuat keputusan meninggalkannya tapi aku yakin ini adalah yang terbaik demi kebahagiaan hidupnya. Ibu dan ayah saja menghadiri majlis itu supaya tidak ketara ketidakhadiranku. Alasan Ibu, aku sedang berkursus di Langkawi. Yang lebih mengharukan, airmata Shak menitis sewaktu bersalaman dengan ibu.
Walaupun pedih rasa hati namun aku tabahkan jua menghadapi. Saat impianku untuk bersama Shak telah pun musnah dan yang tinggal kini hanyalah kenangan-kenangan yang masih tetap terpahat kukuh diingatan.
Ternyata dalam kehidupan ini sering terjadi perkara yang selalu memeranjatkan.
"Jauh mengelamun. Fikirkan apa?"
Aku tersentak. Sejak bila Eric berdiri di hadapan pun aku tidak sedar.
"So, macam mana kursus?"
Dia melonggarkan tali leher dan menanggalkannya.
"Ok."
Aku menyandarkan badan di kerusi. Mataku terpandang lukisan yang sedang tergantung di dinding pejabatnya. Ada seribu makna yang tersembunyi.
"Boleh I tanya You sesuatu? Tapi You kena jujur dengan I."
Kata-katanya membuatkan aku berdebar. Dia menarik kerusi Shikin di meja sebelah dan duduk berdekatan denganku.
"Apa pendapat You tentang I?"
"Pendapat? Pendapat macam mana tu?"
Aku tertawa kecil mendengar soalannya. Satu soalan yang belum pernah ku dengar dari bibirnya. Dan jawapanku, pasti dia seorang lelaki yang istimewa.
"Whatever.."
"You bergaya, kacak, jujur dan berpendirian teguh. Why?"
Aku memberi pengakuan jujur. Dan kalau hendak ku senaraikan tentu tidak tertulis oleh tangan tentangnya.
"Nothing.. Cuma.. biarlah I direct to the point.. Kenapa tidak You jadi special girlfriend I saja?"
Aku terkejut sebenarnya mendengar pengakuan dari Eric namun aku pura-pura berlagak biasa. Hatiku tersenyum bahagia.
"Ni satu lamaran ke? Tapi, macam mana perbezaan agama dan budaya kita?"
Aku ingin mencari jawapan yang lebih pasti.
"Itu bukan persoalannya. Yang penting kesudian hati You dan I."
Mata kami bersatu. Ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik matanya itu namun aku mengerti di dalamnya tersimpan sebuah kasih sayang yang suci.
"You tak takut? Dugaannya banyak. Salah satunya penerimaan keluarga You."
"Dah lama I bersedia untuk menghadapi kemungkinan itu. I tak gentar asalkan dapat bersama You."
Aku terdiam tanpa kata mendengar keyakinannya.
"Akma, kenapa You seolah melarikan diri dari I."
Eric menghalang langkah sewaktu aku hendak melangkah keluar dari biliknya.
"Tak adalah.."
Aku berpura-pura. Sememangnya sejak kebelakangan ini aku ingin mengelak darinya. Aku tidak mahu dia menyimpan harapanku. Biarpun dia ikhlas menyayangi aku namun masih banyak perkara yang harus difikirkan.
"I sunyi You. I nak kita macam dulu."
Suaranya perlahan namun masih jelas terdengar di telingaku.
"You meragui I? Atau You dah ada special boyfriend?"
Dia merenungku.
"Tidak, Eric. I.. Kita tak mungkin dapat bersama."
Aku mulai terasa kolam mataku berair. Ada takungan jernih di situ yang hanya menunggu masa untuk dilimpahkan.
"Akma, I very love You.."
Dia memegang kedua-dua belah tanganku dan mengucupnya. Aku membiarkan saja dia berbuat demikian. Mungkin inilah pertama dan terakhir sekali aku merasa panas nafasnya di tanganku.
Setiap kali aku ingin melupai Eric, setiap kali itulah kenangan demi kenangan kembali mengetuk kamar hati. Aku rindukan kemesraan dulu namun aku harus menyedari tidak mungkin diia menjadi milikku.
Segeraku menarik tangan yang dipegang Eric dan berlalu meninggalkannya. Aku tidak mahu dia tahu perasaanku yang sebenar.
Aku mengambil kartu iringan jambangan bunga di atas meja. Membelek kad berwarna merah itu.
Akma,
We need to talk. I must see you.
Miss You so much.
Eric.
Biarpun sebelum ini aku pernah merasakan duniaku telah berakhir dengan perkahwinan Shak dan Emma namun akhirnya aku menyedari setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Eric muncul pada saat hatiku disimbah rasa luka. Seolah kehadirannya menjadi penawar kecewaku.
Aku sebenarnya berperang dengan perasaan sendiri. Dalam hatiku telah tertulis nama seorang lelaki yang begitu banyak mengajarku erti kehidupan. Yang sentiasa memberiku dorongan untuk mencapai impian. Aku sememangnya tidak mampu lagi membohongi hati bahawa aku juga cintakan Eric.
"Kau fikirkan sebaiknya, Akma. Ayah dan ibu tidak pernah menghalang siapa pun pilihanmu. Cuam, kau harus ingat.. di depanmu masih banyak rintangannya."
Lembut bicara ibu tatkala aku suarakan perasaan hati Eric.
"Akma.."
Eric berdiri di depanku. Benar, Eric menepati janji.
"Bacalah.."
Aku menyambut IC di tangannya.
Muhamad Aiman bin Abdullah?
Benarkah apa yang sedang ku baca saat ini? Aku pandang wajahnya memohon penjelasan.
"Apa yang tertulis di situ adalah benar. I telah lama memeluk Islam. Sejak study kat UUM lagi dan Sham jadi saksinya."
"Kenapa You rahsiakan semua ni?"
"You yang tak pernah tanya."
Aku kehilangan kata.
Semuanya berlaku dengan pantas sekali. Tanpa aku duga, Eric telah memeluk Islam di UUM tiga tahun lalu. Dia sememangnya telah lama meminati Islam. Waktu itu, dia tinggal di kampung. Kekerapan mengikuti kawannya, Amin ke rumah Pak Guru telah menimbulkan keinginan mendalami Islam. Hasrat itu di pendamkan sehinggalah bertemu Sham. Shamlah yang sering memberi bimbingan dan tunjuk ajar padanya.
Keluarga Eric telah lama tahu hal ini. Mereka tidak pernah membantak keputusan Eric. Lagipun dua orang kakaknya telah terlebih dahulu memeluk Islam dan berkahwin dengan lelaki Melayu. Dia juga telah membawaku bertemu keluarganya. Ternyata mereka bukan seperti yang ku sangkakan. Mereka terlalu baik.
Dan kini, seluruh hidupku akan ku serahkan pada Aiman untuk menerajuinya. Cinta dan kasihku telah tertanam untuknya dan tidak mungkin akan tergugat biar apa jua yang mendatang.
Hidup ini sememangnya di luar jangkaan.
"Buat apa tu sayang?"
Aku menoleh. Aiman mendekatiku sambil tangannya memegang sekuntum mawar merah. Bunga kesukaanku.
"Dah lama pulang?"
Dia mengangguk lantas duduk di hadapanku.
"Selama ulangtahun kelima, sayang…"
Bibirnya menyentuh pipiku lembut.
"Terima kasih, abang. Terima kasih kerana membahagiakan Akma selama ini."
Ku kucup mawar merah pemberian Aiman tanda kasihnya yang begitu suci padaku. Kini, usia perkahwinan kami telah mencecah lima tahun. Dan Muhamad Haikal Ariff adalah lambang penyatuan cinta kami berdua. Aku bahagia dengan hidupku kini.
Muhamad Aiman, suamiku..
Di dalam kegelapan jiwa yang meronta, di antara heningnya sekeping hati.. kau hadir memancarkan seribu cahaya buat peneman hidupku. Ku harap padamu.., bahagiakanlah aku hingga ke penghujung usia demi cinta yang kita ikrarkan janjinya


0 comments:
Post a Comment