Recent Posts

Monday, June 30, 2008

Antara Hatiku dan Hatimu

Rintik-rintik hujan yang jatuh berderai ke bumi menarik perhatianku. Tertumpah pandanganku yang syahdu menikmati anugerah Allah SWT buat makhluk-makhluk di bumi. Hujan itu rahmat. Rahmat buat seluruh alam ini. Rahmat Allah yang tiada tandingannya dengan makhluk-makhluk di bumi.

Aku menghulurkan tangan ke luar jendela. Merasa titis-titis air yang berderai atas tapak tanganku. Dingin.Sejuk. Sedingin dan sesejuk hatiku kini. Bukan hanya dingin dan sejuk lagi malahan beku. Kebekuan ini tak kan cair selagi tiada pemanas yang mampu mencairkannya.
Seraut wajahnya bertandang kembali dalam kotak fikiranku. Wajah yang memberi sejuta kebekuan dalam hatiku..

Rupanya cinta itu hanyalah sementara. Cinta yang hanya kekal disaat rasa membara. Cinta yang hanya kekal disaat rindu membuak-buak di dada. Saat cinta itu terasa sejuk dihati, keindahan itu terasa mati. Lalu dengan mudah mengatakan " Kau bukan lagi yang ku cinta". Sekeping hati ditinggalkan tanpa memikirkan apakah yang akan terjadi pada hati itu. Itukah sebenarnya cinta buat insan-insan yang mengagungkan cinta?

"Saya cintakan awak", tiga patah perkataan yang jujur terluah, namun tidak pernah difahami dan di mengerti. Hanya tahu menyebut, tetapi tidak mampu mempertahankan pilihan hati yang dipilih sendiri.
Kata cinta mudah terlafaz disaat hati bergelora rindu, disaat jiwa terasa getarnya. Masa yang ada hanyalah memikirkan dialah segalanya. Siang malam impian hanyalah untuk bersama buat selama-lamanya.
Cinta bukan mainan. Cinta bukan dagangan. Cinta bukan untuk mengambil dan diambil kesempatan. Bukan mudah untuk hati memberi. Bukan mudah untuk hati menerima. Bukan mudah untuk hati datang dan pergi. Peluang itu hanya ada sekali. Masa yang berlalu tidak akan berulang kembali.

"Maafkan saya", jerit dia dalam rintik-rintik hujan itu.
Aku tersentak. Baru seketika dia terlintas dalam fikiranku. Secepat ini dia muncul dihadapanku.
Dahiku berkerut seribu memikirkan dia. Apakah dia sudah gila, berani bertandang ke rumahku. Ini bukan filem yang boleh dibuat sesuka hati.

Aku hanya terpaku di jendela. Memerhatikan dia yang masih tidak berganjak dari situ.
Aku masih boleh melihat wajahnya yang masih seperti dulu. Wajah yang bisa membuatkan aku berlembut hati. Wajah yang bisa membuatkan aku tidak sampai hati untuk menghampakannya.

" Boleh kita bercakap seketika", jerit dia dari bawah. Dia memandang aku dengan penuh pengharapan. Ada riak wajah yang resah dan gelisah. Membuatkan aku terkejut seketika. Dulu katanya, tidak perlukan aku lagi. Dulu katanya, cintanya bukan milikku lagi. Hingga airmataku kering menangisi kepergiannya.

Aku menutup jendela. Aku tidak boleh berhadapan dengannya. Hati ku akan lemah bila berhadapan dengannya. Aku akan kalah lagi. Aku tidak berani untuk berbicara pun. Biarkanlah cinta yang berlalu menjadi sejarah yang abadi dalam hatiku. Sudah ku simpan lipatan memori itu jauh di sudut hatiku yang terdalam.
Aku terjelepuk di tepi jendela itu. Airmata tidak mampu ditahan lagi. Satu persatu kelukaan yang diberikan padaku dulu bermain ligat dimindaku.

"Saya memang sudah tidak cintakan awak", katanya pada aku.
"Tapi kenapa? Ke mana hilangnya cinta awak pada saya?", aku inginkan kepastian.
"Awak perempuan yang kolot. Nak pegang tangan pun tak boleh. Nak keluar bersama tak nak. Ini tak boleh, itu tak boleh. Saya sudah bosan. BOSAN..awak faham tak?", terhambur kata-kata itu pada aku. Tidak pernah terlintas difikiran dia akan mengatakan aku sebegitu.

Aku tersentak. Inikah cinta sebenar seorang lelaki? Inikah yang diharapkan dari sebuah perhubungan yang dinamakan cinta..aku mencari kekuatan. Andai kehilangannya, aku akan pasrah asalkan prinsip aku masih mampu ku pertahankan. Aku hanya ingin berkongsi kasih sayang, bukan berkongsi sentuhan. Sentuhan itu hanya milik insan yang bergelar suami.

"Awak tak ingat apa kata awak pada saya dulu?", soal aku padanya. Aku benar-benar tidak puas hati dengan sikapnya. Dia benar-benar berubah. Sudah tidak seperti dulu lagi. Aku binggung, apalah yang telah merasuk fikirannyanya. Dahulu segala syaratku diterima tanpa bantahan.Dahulu, akulah segalanya. Apa saja tentang aku, bukan masalah. Segalanya rela dan di turuti.

"Apa saya kata pada awak?", tanyanya seolah-olah telah lupakan segala kenangan dan perasaannya.
"Kata awak, awak cintakan saya kerana kebaikan yang ada dalam diri saya. Adakah sekarang saya sudah tidak baik buat awak, hingga hilangnya cinta awak buat saya?".
Lelaki ini benar-benar menguji hati dan perasaanku.

Dia kecintaan aku. Dia kesayangan aku. Mana mungkin mampu aku melepaskannya jauh dari hidup aku.
"Kerana awak terlalu baiklah kita tak sesuai, tak serasi. Saya tak rasa nikmat awak sebagai kekasih", angkuhnya dia benar-benar menyiat pedih hatiku.

Berderai sudah airmataku. Lelaki itu telah meluluhkan segala kepercayaanku padanya. Dulu, ku kira dialah lelaki terbaik untukku. Lelaki yang akan membimbing dan mendidik aku. Dialah lelaki yang aku dambakan untuk bergelar suami kepada seorang perempuan yang bergelar aku.

Airmataku tidak sedikit pun menyentuh hatinya. Malahan senyumnya yang sinis seolah-olah mengejek-ejek jiwa perempuanku yang lembut dan manja.

"Dengan rasminya saya memutuskan perhubungan kita. Mulai hari ini, kita tiada apa-apa ikatan lagi. Anggap saja tidak pernah mengenali saya". Itulah kata-katanya yang terakhir buatku. Kata-kata yang menghancurkan hatiku. Mudahnya melafazkan cinta dan sayang. Mudahnya juga melafazkan benci dan dendam. Mudahnya juga memutuskan perhubungan dan ikatan yang dibina dan diikatnya sendiri.

Tiba-tiba ketukan berbunyi dipintuku. Lamunanku terhenti.

"Sayang..buka pintu ni", kedengaran suara ibu yang lembut.
Aku segera mengesat airmata. Membuka pintu buat ibu. Ibu memandang aku dan tersenyum.
"Ada tetamu. Katanya mahu bertemu dengan kamu", ibu mengusap lembut pipiku.
"Siapa?", aku masih sempat bertanya walau debarku tidak terkata.
"Seorang lelaki", balas ibu.
Hatiku kian berdebar. Adakah dia? Aku makin resah. Aku makin gelisah.
"Pergilah sayang..mungkin ada perkara penting. Kesian ibu tengok dia", pujuk ibuku.
Aku hanya menggeleng kepala. Aku benar-benar tidak ingin.
"Tak baik sayang..dia tetamu kita. Bukankah tetamu itu membawa rahmat?", ibu memegang lenganku. Masih memujukku dengan lembut. Aku percaya ibu pasti tahu gelodak perasaan aku. Seorang ibu itu pasti lebih mengenali dan mengerti seorang insan yang bergelar anak. Aku benar-benar bahagia punya ibu seperti ibuku.
"Jangan risau, ayah pun ada sama. Pakai tudung dulu", pinta ibu pada aku.
Aku masih lagi terpaku di pintu. Tahukah ibu siapa dia? Kalaulah ibu tahu dialah penghancur hati anak ibu ni, pasti bayang dia pun ibu tak kan tengok. Namun lidah ku kelu untuk menyatakannya pada ibu.
"Sayang..setiap manusia itu tak lepas dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Kita tidak boleh menolak hakikat manusia yang punya kelemahan. Mungkin apa yang terjadi sebagai dugaan untuk kita jadikan pengajaran dan sempadan. Bukankah pengalaman itu satu pembelajaran?", petah sungguh ibuku berkata-kata seolah-olah sudah jelas dengan keadaan aku dan dia.
"Dia dah bagi tahu ayah dan ibu tadi tentang segalanya. Tentang kamu dan dia", ibu memelukku erat.
"Dia dah bagi tahu?", aku terkejut dengan kenyataan ibu itu.

"Ya Allah..kenapalah dia bagi tahu? Aku benar-benar ingin rahsiakan daripada ayah dan ibu. Ibu tak benarkan aku bercinta..", desisku dalam hati.

Barangkali bukan restu ayah dan ibu yang menjadikan hubungan aku jadi begitu. Ya, berkali-kali ibu berpesan padaku, jangan bercinta..namun dalam diam-diam aku jatuh cinta dan bercinta juga tanpa pengetahuan ayah dan ibu.

"Ibu tak marah?", soalku pada ibu. Tangan ibu ku gengam erat.
Ibu hanya tersenyum.
"Pergilah kamu jumpa dia dulu..", lembut kata-kata ibu pada aku.
Aku tidak dapat menolak kata-kata ibu lagi. Kata ibu bagaikan amanah buatku.
"Jom sayang..", aku mengikut jejak langkah ibu selepas mengenakan selendang.
Setapak demi setapak ku atur langkah menuruni anak tangga.

Kelihatan ayah dan dia di ruang tamu.
Aku mengambil tempat di sebelah ayah.
"Abang..", ibu memanggil ayah.
Ayah memandang ibu dan mengangguk.
"Ayah dan ibu bagi kamu masa untuk selesaikan masalah kamu ya..", ayah menepuk-nepuk bahuku.
"Terima kasih ayah..", ucapku perlahan.

Ayah dan ibu meninggalkan aku dan dia di situ. Ada perhitungan yang mesti ku selesaikan.
Matanya tertumpu padaku. Wajahnya suram. Pakaiannya masih basah di badan walau ada tuala yang membaluti badannya.

"Apa lagi yang awak mahu? Tidak puas lagikah awak melukai saya?", aku merenung jauh ke dalam matanya. Tiada apa lagi yang ku harapkan daripadanya.
"Saya ingin awak kembali pada saya", wajahnya sendu penuh pengharapan. Mengharapkan pengertian ku yang kudus.
"Awak kira, hati saya hotel? Yang bisa awak datang dan pergi sesuka hati awak", aku masih tenang walau dadaku berombak kencang. Lelaki pertama yang kucintai, lelaki pertama yang meruntun hatiku, lelaki pertama yang membuatkan aku berkata "aku cinta padamu".
"Maafkan saya. Maafkan saya. Maafkan saya..", hanya kata-kata itu yang terluah dibibirnya. Mata itu berkaca di selaputi airmata. Lelaki menangis? Ah.. itukah kejujuran dan keikhlasan? Atau mainan untuk menjerat hatiku yang lemah ini? Cukuplah sekali aku percaya. Cukuplah sekali aku berkorban hatiku untukmu. Tidak lagi kali ini.
"Maaf? Awak kira dengan maaf dapat menyatukan kembali hati saya yang hancur berderai?", aku masih mampu berlembut dengannya walau sabarku bukan sekuat itu. Hanya kerana dialah lelaki yang pernah ku cintai. Aku tidak ingin membenci. Aku tidak ingin berdendam. Setulusnya aku menerima ketentuan hakikat ini yang dia bukan milikku.
"Saya tahu tiada cara yang mampu membuatkan awak memaafkan saya, kerana saya benar-benar cukup mengkhianati dan menghiris hati awak", dia akui dengan jujur.
"Saya kira awak terlupa. Nampaknya awak ingat. Simpan kan saja hasrat awak dalam hati. Biarkan saya sendiri. Tanpa awak pun saya mampu berbahagia", aku yakin dengan keputusanku. Aku yakin dengan apa kata hatiku.

Kadang-kadang peluang hanya datang sekali..Tiada peluang kedua untuknya. Memberi peluang kedua ibarat menempah kelukaan buat kali kedua. Antara hatiku dan hatimu, aku tidak boleh memilih hatimu kali ini. Aku mesti memilih hati aku kerana dulu pun kau memilih hatimu dari hati aku..
Selamat tinggal cinta..cinta ini bukan untukmu, tetapi untuk orang yang lebih mengerti dan menghargai sekeping rasa yang bernama cinta..

"Dengan rasminya saya memutuskan perhubungan kita. Mulai hari ini, kita tiada apa-apa ikatan lagi. Anggap saja tidak pernah mengenali saya", aku menegaskan ayat itu padanya. Ayat yang pernah diucapkan pada aku dulu. Mana mungkin aku melupakannya. Dia yang menghulur cinta, dia juga yang meragut cinta itu. Bukankah semua ini terjadi seperti keinginannya?
Dia seakan-akan terpukul dengan kata-kata itu.

"Pintu rumah saya sentiasa terbuka untuk menghantar awak pulang. Pulanglah awak..antara kita sudah tiada istimewanya..", aku menguatkan semangat untuk meluahkan kata-kata itu walau payah untuk aku luahkan. Walau wajah itu masih lagi wajah yang aku cinta dan aku sayang.

Dalam hujan yang masih lagi bersisa aku menghantarnya dengan pandangan mata hingga dia hilang dari pandanganku. Bukan aku tak sayang, bukan aku tak cinta, bukan aku kejam namun aku tak mampu untuk kembali seperti dulu.

"Sayang..", ayah dan ibu mendekatiku.
"Betul ini yang terbaik? Tak menyesal?", ibu menyoalku.
Dalam sendu itu, aku masih mampu tersenyum. Senyum buat ayah dan ibu yang tersayang.
"Saya kan ada cinta yang lebih agung dari cinta dia..", aku memeluk ayah dan ibuku. Merekalah cinta teragung dalam hatiku.
Perkara yang berlalu, biarkan berlalu. Masih ada perkara yang lebih penting dari sebuah cinta yang tidak dihargai..
Aku itu boleh jadi aku, kau atau dia..
Dia itu boleh jadi dia, kau atau aku..

Segalanya adalah antara hatiku dan hatimu..
Jika kau percaya Matahari dan bulan masih ditempatnya Maka bukalah pintu hatimu seluas-luasnya Kerana ada bahagia Yang sedang menantimu di sana
If you love someone Let them go If they return to you It was meant to be If they don't Their love was never yours to begin with "It's hard to tell if you love someone until they are gone"
Dalam kerendahan diri ada ketinggian budi Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa Dalam kesempitan hidup ada keluasan ilmu Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah
biLa MaTa berTeMu MaTa aKaN TiMbuL raSa ciNTa biLa HaTi berTeMu HaTi aKaN TiMbuL raSa SaYaNg daN biLa DaHi berTeMu SeJaDaH aKaN TeRaSa KEBESARAN ALLAH S.W.T